Friday, June 18, 2010

iTu LaH KeKuAtAn IsLaM..

salam...
ini al-kisah yang sangat menarik...
ia harus dikongsi bersama...
Tahun 837. Kota Amoria, Romawi. Seorang muslimah berjalan dengan tenang di tengah pasar. Membeli barangan untuk tuan yang memilikinya. Dia merupakan hamba tawanan perang dan telah dijual. Kini meneruskan hidup menjadi hamba sahaya menguruskan hal ehwal rumah tuannya.

Tanpa dia sedari, ada mata-mata memerhatikan gerak langkahnya. Peribadinya yang berbeza membuatkan dia menjadi tarikan. Rambut tidak terdedah dilitupi kain penuh beradab, pakaian labuh tidak menonjol bentuk tubuh, dia nyata adalah yang ganjil di tengah pasar Kota Amoria.

“Aku kira, hari ini adalah harinya. Sudah lama aku menahan rasa” Bicara seorang pekedai kepada temannya dengan mata penuh dendam kepada muslimah itu.

“Ya. Mari. Sudah berminggu-minggu aku perhatikannya. Tersirap darah aku saban kali melihatnya” Rakan pekedai itu mengepal kedua belah penumbuk.

“Kita tidak perlu takut. Amoria adalah tanah kita. Semua di pasar ini akan menyokong kita!” Pekedai itu bergerak. Rakannya membuntuti.

Semakin lama semakin mendekat. Muslimah itu tidak menyedari, melainkan apabila telinganya menangkap seruan dari belakang.

“Wahai perempuan!” Segera muslimah itu berpaling untuk melihat. Tetapi terkejutnya dia apabila kedua tangannya pantas ditangkap.

“Lepaskan, lepaskan!” Perempuan itu didorong ke dinding berdekatan. Suasana pasar yang memang riuh menjadi semakin hangat apabila keadaan ini berlaku.

Si Pekedai mengikat kedua belah tangan Muslimah pada palang kedai berdekatan.

“Jangan apa-apakan aku!” Muslimah itu menjerit sayu. Mata-mata di pasar sekadar memandangnya kaku. Semua diam seperti batu.

“Hari ini, siapakah yang akan menyelamatkan kamu?” Pekedai itu menjerit diiringi ketawa berdekah-dekah. Tangannya bergerak pantas melucutkan kain yang melitupi kepala sang muslimah. Terserlahlah rambut panjang melepasi bahu yang perang. Warna rambut asli perempuan dari mediterranean.

“Jangan, jangan!” Air mata perempuan itu mengalir deras. Tiada yang membantu. Semua hanya melihat.

Rakan kepada pekedai bertindak dengan lebih jauh. Menyelak kain yang menutupi bahagian bawah pinggang perempuan itu dan mengoyakkannya.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Dia menjerit kuat.

“Lihat semua, inilah dia orang Islam yang hina. Percaya kepada yang tiada. Percaya kepada yang tidak berguna!” Pekedai tadi memandang sekeliling.

Air mata perempuan itu kabur dengan titisan air mata. Maruahnya diinjak sedemikian rupa. Dari kaburan matanya itu, dia menyangka bahawa keadaannya mendapat simpati manusia di sekelilingnya. Tetapi, tidak lama selepas jeritan lelaki itu, satu pasar mentertawakan keadaannya. Bahkan ada yang membalingnya dengan tomato.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Seluruh pasar menjerit menghinanya.

Hatinya remuk.Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu ini menghinaMu…

Maka dengan kekuatannya yang masih bersisa, dia menjerit sekuat jiwanya.

“Waa Mu’tasimah. Waa Mu’tasimah. (Di mana kamu Al-Mu’tasim? Di mana kamu Al-Mu’tasim?)!”

Dan jeritannya disambut hinaan dan ejekan.

Namun dalam lautan manusia berhati syaitan itu, ada sepasang mata yang memerhatikan. Segera pemilik mata itu bergerak meninggalkan tempat itu. Berjalan mendapatkan tunggangannya. Kemudian bergerak pantas keluar dari Kota Amoria, menuju ke satu tempat bernama Samarrah. Tempat bersemayamnya manusia bernama Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun Ar-Rasyid.

Atau lebih dikenali sebagai Khalifah Al-Mu’tasim.


****


Semboyan perang dibunyikan tanda peperangan telah berakhir. Kota Amoria tewas teruk. 30,000 perajurit romawi terbunuh, manakala 30,000 lagi ditawan oleh tentera dari Abbasiyah.

Tiba-tiba gendang berbunyi. Bendera kebesaran dikibar. Tentera-tentera berbaris kemas. Derapan kuda kedengaran gagah. Sepasukan tentera berkuda bergerak di tengah-tengah barisan. Mengiringi satu figur yang berpakaian sederhana bersama kuda berzirahnya.

“Di manakah muslimah yang memanggil aku?” Figur itu melaung dengan kuat.

Suasana menjadi sunyi seketika. Hanya diisi dengan bunyi deru angin dan api yang masih membakar beberapa bahagian daripada benteng pertahanan.

Tidak lama kemudian terdengar satu suara.

“Aku wahai Khalifah. Aku” Seorang perempuan bergerak menundukkan diri menghadapnya.

Figur itu turun. Bergerak mendekati muslimah itu.

“Wahai perempuan, apakah aku telah memenuhi seruan kamu?” Lelaki itu bertanya.

Dengan air mata yang mengalir, perempuan itu mengangguk berkali-kali. “Ya Amirul Mukminin, ya. Kau telah memenuhi seruanku”

Amirul Mukminin Al-Mu’tasim tersenyum.

“Apakah yang menghinamu itu ada dari kalangan mereka ini?” Al-Mu’tasim menunjuk kepada tawanan perang dari kalangan rakyat yang berbaris di tepi barisan tenteranya.

Muslimah itu mengangguk dan menunjuk dengan telunjuknya pekedai dan rakannya yang telah menjatuhkan maruahnya.

“Kau mulai sekarang, aku jadikan hamba yang merdeka. Kuberikan rumah, kuberikan tanah. Dan mereka berdua ini aku hadiahkan kepada kamu sebagai hamba”

Perempuan itu terkedu.

“Al-Mu’tasim, kau lancarkan perang ini hanya kerana seorang perempuan?” Satu jeritan kedengaran.

Al-Mu’tasim menoleh. Kelihatan seorang lelaki sedang dipukul oleh tenteranya. Mungkin kerana jeritannya itu dikira sebagai tidak beradab kepada khalifah.

“Siapakah dia?” Al-Mu’tasim bertanya kepada pengiringnya.

“Dia itu adalah ketua jeneral untuk Kota Amoria.” Pengiringnya berbisik.

Al-Mu’tasim mengangkat tangan, isyarat agar tenteranya berhenti memukul lelaki itu. Al-Mu’tasim merapati Jeneral Kota Amoria itu.

“Wahai jeneral, bukankah aku telah menghantar surat amaran? Sekiranya keeadilan tidak ditegakkan oleh pemimpin kamu, maka bersedialah untuk menerima tenteraku yang ramainya dari sempadan negara kamu hingga ke akhir sempadan negaraku? Dan pemimpin kamu tidak membalas suratku itu.” Al-Mu’tasim berbicara tenang.

Lelaki itu terdiam.

Al-Mu’tasim bergerak meninggalkan lelaki itu. Dia pergi ke arah pekedai dan rakannya. Memandang tepat kepada dua lelaki itu.

“Dan ketahuilah, masih ada lagi tenteraku yang sedang berbaris di hadapan istanaku untuk ke mari. Sesungguhnya, aku benar-benar mengotakan janji. Inilah dia kekuatan Tuhanku. Inilah dia warisan Rasulku. Sungguh, Dia tersangat mulia, tidak perlu turun sendiri untuk berurusan dengan manusia sepertimu. Sungguh, Rasulullah itu tersangat mulia, tidak perlu bangkit dari kubur untuk menguruskan kamu. Aku, hamba-Nya dan ummat kepada baginda, sebagai wakil menjalankan hukumNya dan membela ummat baginda.” Mata Al-Mu’tasim membesar.

Pekedai dan rakannya melutut kegerunan.

Al-Mu’tasim berpaling dan kembali menunggang kudanya.

“Mari kita pulang.” Al-Mu’tasim mengangkat tangannya. Gendang kedengaran. Seluruh tentera yang mengiringinya mendahului Al-Mu’tasim.


***
Tamat bahagian Satu



3 comments:

  1. tag u.. http://solacefatin.blogspot.com/2010/07/selesaikan-tag-saudara-lompat-tikam.html

    ReplyDelete
  2. zut , aku kagum ngn crite nih .
    aku nk mtk satu bnde bole ?
    dptkn kesimpulan dan sinopsis dr crite rabiatul adawiyah .

    ReplyDelete